Friday, September 19, 2008

ADA APA DENGAN KETUANAN MELAYU

Ketuanan melayu?? Ada apa dengan ketuanan melayu?? Tidak pernah ditimbulkan oleh sesiapa pun sehinggalah 8 Mac 2008. Kalau ada pun, cakap bisik-bisik dikalangan orang melayu kat kedai-kedai kopi di Balik Pulau dan Mahang di Pulau Pinang. Itu pun sebab merintih nasib mereka. Habis tanah dikebas, nak berniaga pun susah. Takde sesiapa pun bela. Pantang pembangkang bersuara, ISA dan hasutan!! Pemimpin parti yang kononnya membela nasib Melayu dulu, kini dan selamanya, mengunci mulut, mengikat tangan atas alasan menjaga semangat setiakawan dan perpaduan dalam Barisan. Taknak campur urusan parti yang menguasai negeri. Cukuplah DEB dan masjid masih berdiri teguh. Yang berani bersuara dan bertekak dengan Gerakan pun menantu PM. Sebabnya, dia menantu kesayangan PM, malah dia adalah otak dan jantung PM. Tapi tetap..perpaduan kaum dan parti mengatasi segalanya. Lepas kalah teruk dlm pilihanraya ke-12, terpekik telolong pembesar-pembesar melayu ni meminta tolong diselamatkan dari kelemasan dengan hanya satu kata hikmat, KETUANAN MELAYU. Bila parti-parti yang tidak melayu yang selama ini jadi pelampung bahtera mereka dah bocor, pecah dan karam dalam pilihanraya 12, bergegas lah mereka memanggil-manggil orang-orang melayu untuk bersatu. Muzakarah dan mubahalah dijadikan tali untuk menarik pemimpin-pemimpin PAS untuk jadi pelampung kepada bahtera UMNO yang hampir karam macam titanic. Tanpa segan silu macam tiada lagi maruah untuk melaung-laungkan ‘hidup melayu’ dan ‘membela ketuanan melayu’ demi kelangsungan kuasa dan kantung-kantung poket mereka. Waktu ini, senyap dan buta pula pada perpaduan antara kaum yang selama ini menjadi pelampung dan perisai mereka. Dimainkan drama berskrip perkauman.

Amat aneh dan menjengkelkan, ‘ketuanan melayu’ dan ‘hidup melayu’ ini dijadikan peluru terakhir untuk menyelamatkan anjung kuasa mereka. Selama ini, tiada siapa dalam parti melayu ini bersuara dan membela nasib orang-orang melayu yang menghuni setinggan-setinggan. Tiada siapa yang membela peneroka-peneroka melayu, petani-petani melayu, nelayan-nelayan melayu yang terus-terusan ditipu pedagang/ pemanipulasi hasil titik peluh mereka. Tiada siapa menjaga tanah-tanah orang melayu dari dibangunkan konkrit-konkrit untuk mengkayakan orang-orang bukan melayu. Dapatlah pencacai-pencacai melayu kuah-kuah dari kekayaan itu, setakat lepas pegi haji dan beli motor besar. Tiada langsung pembesar-pembesar melayu ini yang melawan dan membela tanah bendang petani-petani melayu di kedah dari digunakan untuk projek udang harimau yang akhirnya terbengkalai. Bukankah pemimpin parti melayu ini yang mahu menimbus bendang sawah padi yang menjadi periuk nasi orang melayu di Yan untuk projek paip gas yang menguntungkan beberapa kerat orang kaya dan pembesar melayu?? Tiada siapa dari mereka yang suka menghunus keris dan menjunjung bendera keris sanggup ini berpanas terik bertempur dengan FRU untuk mempertahankan nasib penduduk melayu di Kampung Beremban, Ampang dan Sungai Penchala yang hilang tempat berteduh akibat pembangunan rakus memperkayakan orang bukan melayu malahan orang asing. Sibuk menghunus keris, dibiarkan Bahasa Melayu dianak-tirikan. Leka mengagungkan batik dan kraftangan melayu, diabaikan anak-anak muda melayu berpeleseran di kotaraya dengan rempit, dadah dan rogol. Hidup melayu!!





Cukup menghairankan, bila MB Selangor yang baru, dari parti yang bukan keris mencetuskan idea dibuka 10% kuota untuk bukan melayu di UiTM, melompat melenting orang-orang yang kononnya mempertahankan melayu ini. Maka diarahkan budak-budak hingusan dari ‘Universiti Tolong Melayu’ menyalak-nyalak dijalanan. Kata NC bermisai tebal yang pernah diomong-omong untuk dicalonkan dan dijadikan Ketua Menteri Melaka sebelum pilihanraya ke 12 itu, budak-budak dia ini bertindak atas kemahuan sendiri, tidak dipaksa. Bukankah menyalahi AUKU dan peraturan universiti untuk berhimpun dan berdemonstrasi menentang kerajaan? Kalau betul mereka berdemonstrasi dgn hati tulus ikhlas, alangkah baiknya kalau demonstrasi itu dihalakan bagi menentang forum ‘convert to Islam’ anjuran Bar Council yang amat hampir dengan tarikh demonstrasi isu kuota UiTM itu. Malahan tiada siapa antara budak-budak yang menyalak-nyalak ‘ketuanan melayu’ ini berani berdemonstrasi bagi membela nasib nasib Islam dalam kes Lina Joy, Artikel 11 dan sebagainya. Jadi timbul persoalan penting, adakah lebih penting dan mulia untuk berjuang mempertahankan hak dan kepentingan Melayu ini berbanding mempertahankan kemuliaan agama Allah swt untuk terus mekar dibumi Malaysia ini?? Adakah mempertahankan ketuanan melayu ini menjadi matlamat hidup kita dan akan dipersoalkan oleh Tuhan di akhirat kelak??

Tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim ini sebenarnya selaras dengan saranan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mencadangkan perlunya ‘tongkat melayu’ ini dibuang bagi menggalakkan orang melayu bersaing dengan bangsa lain dan memajukan bangsa melayu sendiri. Beliau secara terus terang mengatakan bantuan dan hak istimewa yang dinikmati oleh orang melayu sehingga kini menyebabkan orang melayu terus mundur dan ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. DEB dan kuota keistimewaan melayu terus-terusan disalah guna dan menjadikan melayu mudah lupa. Bahkan mantan perdana menteri inilah yang menaik taraf ITM menjadi sebuah universiti sekaligus membenarkan bangsa asing memasuki UiTM. Sehingga kini, dikatakan lebih 5% orang bukan melayu dan bangsa asing telah menjadi pelajar UiTM. Agak menghairankan, tiada siapa pun pembesar UMNO yang kononnya membela melayu, bersuara menentang tindakan Tun Dr Mahathir membuka kuota kepada bukan bumiputera, bahkan untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selain menggantikan bahasa melayu dengan bahasa inggeris dalam pembelajaran sains dan matematik di sekolah. Umum mengetahui, bahasa tiang bangsa. Kalau bahasa melayu dipinggirkan oleh orang melayu sendiri, jangan sibuk nak bicara tentang Dasar Ekonomi Baru dan ketuanan melayu.

Apabila ketua menteri Pulan Pinang dari DAP, Lim Guan Eng berhasrat mengetepikan DEB dalam polisi kerajaan Pulau Pinang, meraung-raung ketakutan orang-orang dari parti melayu. Yang paling takut adalah pembesar-pembesar parti keris dari atas sampailah ke JKKK. Kerana hilang DEB, kosonglah kantung mereka, tiada duit kopi dan untung atas angin yang selama ini menjadi punca rezeki menyuap anak bini. Mana keberkatan dalam keluarga? Kalau anak bebal dalam pelajaran dan rosak hidup mereka, salahkan cikgu, anak orang lain dan TV. Terlupa duit makan anak itu datang dari mana. Kalau tanya juak-juak penjilat di UiTM yang berbangga dengan ketuanan melayu tentang maksud dan matlamat sebenar DEB pun belum tentu diketahui mereka. Apa yang mereka tahu, perisai ketuanan melayu di UiTM menjadi sandaran untuk mereka bergelar graduan, walaupun telah dihalau dari IPTA lain, UiTM adalah penyelamat. Oleh kerana itu, berbanggalah mereka dengan slogan ketuanan Melayu dan menyalak-nyalak di siang hari membela hak melayu. Di malam hari, berpesta di Tasik Shah Alam melampias nafsu, bermanifestasi cinta bersaksikan sang rembulan. Hidup Melayu!! Pun begitu, adalah tidak dinafikan masih ramai pelajar UiTM yang benar-benar menjadi harapan bangsa dan mencapai matlamat artikel 152 dan 153, menjadi insan dan graduan yang berjaya dalam akademik dan sahsiah diri. Hanya segelintir yang masih leka dan alpa dengan fatamorgana duniawi dan hilang jatidiri untuk membina modal insan yang bakal memimpin dan memacu Malaysia dengan semangat perpaduan dan toleransi dalam masyarakat majmuk tanpa mengabaikan syariat agama.

Tuesday, August 19, 2008

MAIN SUMPAH-SUMPAH

Main sumpah-sumpah adalah satu perkara yang biasa kita lakukan dizaman kanak-kanak selain main sorok-sorok. Walaupun kedua-duanya berbunyi seakan serupa, tapi kita tidak pernah dilarang oleh orang tua untuk bermain sorok-sorok asalkan jangan main waktu maghrib atau malam takut disorok momok. Sejauh mana kebenaranya tiada siapa pun pasti. Perkara sebaliknya berlaku untuk main sumpah-sumpah ni. Cukup sensitif dan cukup marah orang-orang tua kalau kita bermain sumpah. Asalkan nak buat orang percaya pada kita, “sumpah aku tak buat”, “sumpah aku nampak”, “sumpah aku tak tipu”. Kata orang-orang tua, jangan main sumpah, nanti termakan sumpah dan nanti jadi sesumpah. Fuhh..takut betul kita mendengarnya.

Tapi amat jarang orang-orang tua kita nasihatkan bahawa sumpah ni amat serius dan tidak boleh dibuat main kerana amat berat salahnya dan berdosa besar kalau kita bersumpah sedangkan kita menipu. Dan hakikat sebenar sumpah ini hanya sah bila dilafazkan dengan nama Allah dan tidak terpakai dengan nama quran mahupun atas nama mana-mana surah seperti yang dilakukan oleh Sukma Darmawan dan Azizan Abu Bakar dalam kes liwat tahun 1998. selang tiga bulan, mereka akhirnya menarik balik sumpah mereka. Suka-suka hati main sumpah-sumpah. Dalam kitab undang-undang, sumpah juga tidak boleh diperkecilkan atau ditarik balik dengan sewenang-wenangnya walaupun mendapat arahan dari pihak yang berkuasa dan berkepentingan kononnya atas alasan keselamatan negara dan perpaduan masyarakat. Bangang betul alasan ni. Bab undang-undang ni, aku bukanlah arif sangat. Tanyalah pengamal undang-undang untuk maklumat lanjut. Semakin kita meningkat dewasa baru kita sedar peranan dan hukum sumpah ni. Selama aku belajar di kelas- kelas agama, hanya sekali sumpah ini berperanan penting dalam hukum shari’ah iaitu dalam kes li’an. Kalau tak tau li’an ni, tanyalah pada guru-guru agama. Dewasa ini juga aku amat terkesal dan agak sedikit mencuit hati apabila semakin ramai orang terutamanya melayu-islam yang masih suka bermain sumpah-sumpah ini. Mungkin mereka ini tak pernah merasa bermain sumpah-sumpah dialam kanak-kanak atau masih dibuai keindahan zaman kanak-kanak dengan sorok-sorok dan sumpah-sumpah.

Aktiviti sumpah menyumpah yang semakin berleluasa kebelakangan ini sangat membuat aku rasa menyampah mendengarnya. Senang-senang je lafaz sumpah keramat dengan berdegar-degar dan penuh bersemangat mengharapkan sambutan dan sokongan pendengar untuk mengagung-agungkan dirinya sebagai pahlawan dan pendekar. Perjuangan kononnn...cehh!! poooraahhh!! Fulus tak masuk, pandang tak dijeling, terus merajuk mengkhianati ‘sumpah keramat’ ciptaan sendiri. Permainan sumpah ini seterusnya dimainkan oleh seorang saksi kes bunuh. Baru buat kenyataan bersumpah yang menggemparkan negara, tak sampai 48 jam terus tarik balik. Katanya sumpah yang dia buat dahulu dalam keadaan dipaksa. Sumpah yang mana satu betul-betul dipaksa,tak tahulah. Zaman kanak-kanak dulu pun selalu je sumpah ini ditarik balik. Bukan susah pun, cakap je sumpah yang terdahulu main-main je. Nama pun main sumpah-sumpah. Tup-tap, tup-tap, hilang terus mamat keturunan asal ‘Kalingga’ ni. Mungkin dia terus sambung main sorok-sorok pulak lepas main sumpah-sumpah. Seronoknya dia kembali ke zaman kanak-kanak. Tapi mungkin juga dia terpaksa. Siapa sanggup hadapi atau tengok anak bini berkecai dengan C4. Kalau nyawa sendiri, anak bini jadi taruhan, siapa yang sanggup melawan. Tengok, bahaya sungguh main sumpah-sumpah ni. Yang paling menjijikkan dan memualkan adalah ‘sumpah cara Islam’ yang dibuat Saiful Jubori Azlan baru-baru ini. Itupun, masih ramai yang mempertikaikan cara sumpah itu dibuat sama ada sah atau tidak. Si tuan Imam Ramlang Porigi pun cuba bersihkan tangan untuk mengelak balasan Tuhan. Aku memang tak terkejut pun dengan sumpah dia ni. Sebab sekarang ni zaman orang suka main sumpah-sumpah. Bila-bila boleh buat, bila-bila pun boleh ditarik balik. Alasan mudah, sumpah dulu sebab dipaksa. Tuan Imam yang jadi saksi sumpah dia pun cakap cara sumpah dia salah. Bagaimana sumpah yang betul, macam-macam idea dan khilaf keluar. Wallahu'alam. Nampak macam tiada mudarat, bersuara pula Datuk Najib bersumpah tidak pernah mengenali wanita Monggolia yang dikaitkan dengan beliau. Tajol Rosli yang masih mengigau dianjung kuasa negeri Perak pun bersumpah dalam media menafikan penglibatan dalam konspirasi rasuah terhadap 2 exco Perak. Nak kasi gempaq, dia cabar DS Nizar bersumpah bersama dengannya di masjid. Dan makin hari makin ramai pula orang bersumpah. Ada yang buat secara rasmi dihadapan suruhanjaya sumpah, ada yang bermain sumpah diceramah, TV dan masjid. Macam-macam cara, ada cara Islam, ada cara tak Islam. Maka bersumpah-sumpah lah mereka dan cabar-mencabar lah mereka dalam permainan sumpah ini. Macam budak-budak.. Nama Tuhan dijadikan basahan mulut, bukan sebab zikir pada Ilahi, tapi jadi pendinding isu dan kontroversi. Dirojakkan agama dan konspirasi.

Janganlah mudah percaya dan tersentak dengan orang-orang yang bermain sumpah ni. Bagi aku mudah, orang Islam bukan semuanya Islam sejati dan bukan semua takutkan Allah serta balasannya. Orang yang tak sembahyang, tak puasa, minum arak, merompak, menyamun, membunuh adalah orang yang tak percaya pada balasan Allah. Mereka memang memandang remeh balasan Tuhan. Kalau mereka benar-benar takutkan Allah, mereka tak buat perkara-perkara yang dilarangNya dan takkan tinggalkan suruhanNya. Apalah sangat sumpah pada mereka. Jadi, kesimpulannya orang yang tak takut dengan Tuhan, senang-senang je buat apa-apa pun termasuklah main sumpah-sumpah. Yang selebihnya, terpulang pada diri sendiri untuk berfikir dan yang maha mengetahui hanyalah Allah s.w.t.