Main sumpah-sumpah adalah satu perkara yang biasa kita lakukan dizaman kanak-kanak selain main sorok-sorok. Walaupun kedua-duanya berbunyi seakan serupa, tapi kita tidak pernah dilarang oleh orang tua untuk bermain sorok-sorok asalkan jangan main waktu maghrib atau malam takut disorok momok. Sejauh mana kebenaranya tiada siapa pun pasti. Perkara sebaliknya berlaku untuk main sumpah-sumpah ni. Cukup sensitif dan cukup marah orang-orang tua kalau kita bermain sumpah. Asalkan nak buat orang percaya pada kita, “sumpah aku tak buat”, “sumpah aku nampak”, “sumpah aku tak tipu”. Kata orang-orang tua, jangan main sumpah, nanti termakan sumpah dan nanti jadi sesumpah. Fuhh..takut betul kita mendengarnya.
Tapi amat jarang orang-orang tua kita nasihatkan bahawa sumpah ni
amat serius dan tidak boleh dibuat main kerana amat berat salahnya dan berdosa besar kalau kita bersumpah sedangkan kita menipu. Dan hakikat sebenar sumpah ini hanya sah bila dilafazkan dengan nama Allah dan tidak terpakai dengan nama quran mahupun atas nama mana-mana surah seperti yang dilakukan oleh Sukma Darmawan dan Azizan Abu Bakar dalam kes liwat tahun 1998. selang tiga bulan, mereka akhirnya menarik balik sumpah mereka. Suka-suka hati main sumpah-sumpah. Dalam kitab undang-undang, sumpah juga tidak boleh diperkecilkan atau ditarik balik dengan sewenang-wenangnya walaupun mendapat arahan dari pihak yang berkuasa dan berkepentingan kononnya atas alasan keselamatan negara dan perpaduan masyarakat. Bangang betul alasan ni. Bab undang-undang ni, aku bukanlah arif sangat. Tanyalah pengamal undang-undang untuk maklumat lanjut. Semakin kita meningkat dewasa baru kita sedar peranan dan hukum sumpah ni. Selama aku belajar di kelas- kelas agama, hanya sekali sumpah ini berperanan penting dalam hukum shari’ah iaitu dalam kes li’an. Kalau tak tau li’an ni, tanyalah pada guru-guru agama. Dewasa ini juga aku amat terkesal dan agak sedikit mencuit hati apabila semakin ramai orang terutamanya melayu-islam yang masih suka bermain sumpah-sumpah ini. Mungkin mereka ini tak pernah merasa bermain sumpah-sumpah dialam kanak-kanak atau masih dibuai keindahan zaman kanak-kanak dengan sorok-sorok dan sumpah-sumpah.
Aktiviti sumpah menyumpah yang semakin berleluasa kebelakangan ini sangat membuat aku rasa menyampah mendengarnya. Senang-senang je lafaz sumpah keramat dengan berdegar-degar dan penuh bersemangat mengharapkan sambutan dan sokongan pendengar untuk mengagung-agungkan dirinya sebagai pahlawan dan pendekar. Perjuangan kononnn...cehh!! poooraahhh!! Fulus tak masuk, pandang tak dijeling, terus merajuk mengkhianati ‘sumpah keramat’ ciptaan sendiri. Permainan sumpah ini seterusnya dimainkan oleh seorang saksi kes bunuh. Baru buat kenyataan bersumpah yang menggemparkan negara, tak sampai 48 jam terus tarik balik. Katanya sumpah yang dia buat dahulu dalam keadaan dipaksa. Sumpah yang mana satu betul-betul dipaksa,tak tahulah. Zaman kanak-kanak dulu pun selalu je sumpah ini ditarik balik. Bukan susah pun, cakap je sumpah yang terdahulu main-main je. Nama pun main sumpah-sumpah. Tup-tap, tup-tap, hilang terus mamat keturunan asal ‘Kalingga’ ni. Mungkin dia terus sambung main sorok-sorok pulak lepas main sumpah-sumpah. Seronoknya dia kembali ke zaman kanak-kanak. Tapi mungkin juga dia terpaksa. Siapa sanggup hadapi atau tengok anak bini berkecai dengan C4.
Kalau nyawa sendiri, anak bini jadi taruhan, siapa yang sanggup melawan. Tengok, bahaya sungguh main sumpah-sumpah ni. Yang paling menjijikkan dan memualkan adalah ‘sumpah cara Islam’ yang dibuat Saiful Jubori Azlan baru-baru ini. Itupun, masih ramai yang mempertikaikan cara sumpah itu dibuat sama ada sah atau tidak. Si tuan Imam Ramlang Porigi pun cuba bersihkan tangan untuk mengelak balasan Tuhan. Aku memang tak terkejut pun dengan sumpah dia ni. Sebab sekarang ni zaman orang suka main sumpah-sumpah. Bila-bila boleh buat, bila-bila pun boleh ditarik balik. Alasan mudah, sumpah dulu sebab dipaksa. Tuan Imam yang jadi saksi sumpah dia pun cakap cara sumpah dia salah. Bagaimana sumpah yang betul, macam-macam idea dan khilaf keluar. Wallahu'alam. Nampak macam tiada mudarat, bersuara pula Datuk Najib bersumpah tidak pernah mengenali wanita Monggolia yang dikaitkan dengan beliau. Tajol Rosli yang masih mengigau dianjung kuasa negeri Perak pun bersumpah dalam media menafikan penglibatan dalam konspirasi rasuah terhadap 2 exco Perak. Nak kasi gempaq, dia cabar DS Nizar bersumpah bersama dengannya di masjid. Dan makin hari makin ramai pula orang bersumpah. Ada yang buat secara rasmi dihadapan suruhanjaya sumpah, ada yang bermain sumpah diceramah, TV dan masjid. Macam-macam cara, ada cara Islam, ada cara tak Islam. Maka bersumpah-sumpah lah mereka dan cabar-mencabar lah mereka dalam permainan sumpah ini. Macam budak-budak.. Nama Tuhan dijadikan basahan mulut, bukan sebab zikir pada Ilahi, tapi jadi pendinding isu dan kontroversi. Dirojakkan agama dan konspirasi.
Janganlah mudah percaya dan tersentak dengan orang-orang yang bermain sumpah ni. Bagi aku mudah, orang Islam bukan semuanya Islam sejati dan bukan semua takutkan Allah serta balasannya. Orang yang tak sembahyang, tak puasa, minum arak, merompak, menyamun, membunuh adalah orang yang tak percaya pada balasan Allah. Mereka memang memandang remeh balasan Tuhan. Kalau mereka benar-benar takutkan Allah, mereka tak buat perkara-perkara yang dilarangNya dan takkan tinggalkan suruhanNya. Apalah sangat sumpah pada mereka. Jadi, kesimpulannya orang yang tak takut dengan Tuhan, senang-senang je buat apa-apa pun termasuklah main sumpah-sumpah. Yang selebihnya, terpulang pada diri sendiri untuk berfikir dan yang maha mengetahui hanyalah Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment